AGENDA

Ismail Sabri: Barisan Kabinet diumum minggu ini

23 Ogos 2021, 9:55 AM
Ismail Sabri: Barisan Kabinet diumum minggu ini

YAN, 23 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barisan Kabinet di bawah pentadbirannya akan diumum dalam minggu ini.

Beliau berkata senarai nama itu akan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan Seri Paduka terlebih dahulu.

Ismail Sabri berkata Kabinet tersebut bukanlah kerajaan perpaduan yang turut melibatkan wakil rakyat pembangkang.

"Kerjasama dengan mereka (pembangkang) bukan bermakna mereka akan ada dalam kabinet, tetapi mereka boleh memainkan peranan dengan menyalurkan idea mereka menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir susulan kejadian kepala air dari Gunung Jerai di sini hari ini, yang turut disertai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Ismail Sabri turut mempelawa Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama berbincang dengan kerajaan bagi membantu menyelesaikan isu Covid-19 dan juga ekonomi negara yang terjejas ekoran pandemik itu.

Dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri semalam, beliau menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Mengulas mengenai pelbagai berita yang tular tentang senarai nama jemaah menteri, Ismail Sabri meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya kerana ia adalah palsu.

"Jangan percaya, banyak sangat keluar nama-nama menteri… setiap hari ada senarai baharu. Tetapi bagus juga kerana ia boleh membantu saya untuk melihatnya," katanya secara berseloroh.

Menyentuh cadangan supaya Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan wakil rakyat Sabah dan Sarawak, Ismail Sabri berkata beliau bersedia mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619