AGENDA

Individu dakwa disuntik dengan picagari kosong di PPV Bangi hanya salah faham

21 Jul 2021, 12:35 AM
Individu dakwa disuntik dengan picagari kosong di PPV Bangi hanya salah faham

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki mengatakan dirinya disuntik menggunakan picagari kosong ketika mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), di sini, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dakwaan berkenaan hanya salah faham dan individu itu telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

Beliau berkata siasatan mendapati individu berkenaan telah dihubungi oleh petugas di PPV itu dan diberi penerangan dengan jelas berhubung prosedur pengambilan vaksin dan individu berkenaan berpuas hati dengan penerangan diberikan.

“Tiada laporan polis dibuat oleh penerima vaksin itu atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd Zaid laporan polis hanya dibuat pihak BACC semalam untuk menjelaskan dan menafikan dakwaan individu berkenaan.

Mohd Zaid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan siasatan mendapati ciapan di ruangan komen Twitter itu dibuat oleh teman wanita penerima vaksin itu yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan ataupun ciapan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.

Dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah memanggil petugas kesihatan dan saksi berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Sabtu lepas.

"Pihak kami ada menerima laporan dan petugas atau individu yang terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dihubungi semalam.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619