AGENDA

Selangor sasar pelaburan asing lebih rendah dampak pandemik

20 Jul 2021, 6:02 AM
Selangor sasar pelaburan asing lebih rendah dampak pandemik

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor meletakkan jumlah sasaran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah iaitu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion pada tahun ini berbanding pencapaian RM17 bilion ke RM18 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini ekoran impak daripada pandemik Covid-19.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sehingga April 2021, negeri itu mencatatkan nilai FDI kira-kira RM9 bilion dan ia masih dilihat sebagai angka yang baik memandangkan situasi ekonomi lebih mencabar ketika ini berbanding tahun sebelumnya.

“Sasaran kita tak besar setakat RM12 billion ke RM13 bilion kerana apa yang berlaku bila kes Covid-19 meningkat semula pada tahun ini operasi kita hanya bergerak dalam 20 ke 30 peratus tak banyak perkara yang kita boleh buat dan kembangkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Bagaimanapun, katanya, susulan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini, beliau berharap landskap ekonomi negeri itu akan beransur pulih.

“Kita tidak mahu terlalu ‘ambitious’ (meletak sasaran tinggi) tetapi saya kira akhir Ogos atau awal September kita akan dapat sesuatu yang lebih baik untuk Selangor,” kata Amirudin.

Sementara itu, katanya, melalui pelaksanaan inisiatif Selangor Advance dibawah Pakej Kita Selangor 2.0, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat melibatkan 50,000 pekerja setakat ini.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619