AGENSI

MB, penduduk Flat Taman Samudera takbir raya di balik kawat duri

19 Jul 2021, 11:51 PM
MB, penduduk Flat Taman Samudera takbir raya di balik kawat duri

GOMBAK, 20 JULAI: Dato' Menteri Besar melaungkan takbir bersama penduduk Flat Taman Samudera Timur, di sini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Laungan itu dibuat malam tadi semasa lawatan beliau ke pangsapuri berkenaan, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kelmarin.

Dato' Seri Amirudin Shari sebelum itu memberi ucapan kepada penduduk supaya kekal tenang dan sabar dalam menempuhi dugaan beraya di sebalik kawat duri.

"Saya harap anda semua terus bersabar dan jangan keluar kerana kita mahu memastikan 3,320 penduduk disaring Covid-19 dan divaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

"Bagi mereka yang beragama Islam saya ucapkan selamat menyambut Aidiladha dan saya minta maaf kerana sememangnya kita tidak mahu perkara ini terjadi.

"...namun saya yakin paling tidak suasana ini menjadikan penduduk lebih akrab dan bantu-membantu dalam kepungan PKPD," katanya.

Sementara itu, beliau berkata agihan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga selesai diagih dalam tempoh 48 jam di flat berkenaan.

"Alhamdulillah bantuan bakul makanan juga telah selesai diagihkan dan saya yakin ia dapat bertahan sekurang-kurangnya lima hinga tujuh hari.

"Insya-Allah kita akan cuba hulurkan sokongan dan bantuan dari semasa ke semasa," kata Amirudin.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai.

Sebelum ini, tiga lokasi PKPD di Selangor yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni di Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619