AGENDA

PAKATAN mahu ruang berbahas isu pandemik, bukan kemuka undi tidak percaya

18 Jul 2021, 9:10 AM
PAKATAN mahu ruang berbahas isu pandemik, bukan kemuka undi tidak percaya

SHAH ALAM, 18 Julai: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu ruang berbahas isu pandemik Covid-19 pada sidang Dewan Rakyat nanti, bukannya untuk mengemukakan undi tidak percaya.

PAKATAN berkata ia selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang "secepat mungkin" untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

"Seri Paduka Baginda menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021. Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini," menurut kenyataan PAKATAN.

Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng juga menyebut pada 12 Julai lalu Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Yang di-Pertuan Agong.

"Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

"Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen," katanya.

PAKATAN juga mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619