AGENDA

Ismail Sabri: Tiada kompromi bagi kilang ingkar SOP

17 Jul 2021, 9:06 AM
Ismail Sabri: Tiada kompromi bagi kilang ingkar SOP

KLANG, 17 JULAI: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kilang yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi peraturan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tidak mengimbas kod MySejahtera; sedangkan menurutnya peraturan itu adalah penting kerana di dalam aplikasi itu ia akan memaparkan status kesihatan pekerja berkenaan.

“Dalam MySejahtera ada tulis berisiko tinggi atau tidak, yang berisiko tidak dibenarkan bekerja sebab itu kita mahu pengimbasan itu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai Op Patuh di kilang membuat komponen elektrik dan kilang makanan di sekitar Klang hari ini.

Ismail berkata bermacam alasan diberikan oleh pihak pengurusan kilang kepada pihak berkuasa termasuk tidak mengetahui bahawa pekerja mereka tidak mengimbas kod MySejahtera walaupun arahan telah jelas diberikan oleh pihak berkuasa.

Katanya masih banyak kilang yang melakukan kesalahan, dan beliau memberi contoh Rabu lepas, sebanyak 180 kilang ditutup, selain banyak kompaun yang dikeluarkan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan berkaitan SOP.

Ismail Sabri berkata sejak 25 Jun sehingga semalam 994 premis ditutup, 3,610 kompaun dikeluarkan dan 112 tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa menerusi Op Patuh.

“Seperti Op Patuh yang kita lakukan di sebuah kilang makanan di sini, 85 pekerja didapati tidak membuat imbasan MySejahtera, selain itu juga kesalahan lain dikesan seperti tidak ada penjarakan fizikal dan tiada pensanitasi tangan mahupun pengimbas suhu disediakan.

“Walaupun kesalahan itu tidak menyebabkan kilang ditutup, tetapi ia boleh dikenakan kompaun dan pihak polis yang akan menentukan berapa jumlahnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata keputusan kerajaan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor semalam dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya difahamkan oleh KKM bahawa saringan besar-besaran telah dilakukan sejak 14 hari lepas, kita dinasihatkan untuk membukanya (menamatkan PKPD). Jadi ini adalah nasihat daripada KKM,” katanya sambil menambah PKPD tetap diteruskan secara lokaliti.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan empat lokaliti akan dikenakan PKPD membabitkan Damai Apartment, PJS 8 Damansara di Petaling; Jalan Pandan Indah, Ampang (Hulu Langat); Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi (Klang) dan Taman Samudera di Batu (Gombak) bermula esok hingga 31 Julai.

Selain itu, katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi kesukaran ketika musim pandemik Covid-19 ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619