AGENDA

Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

14 Jul 2021, 1:12 PM
Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

"Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

"Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619