AGENDA

Bekas pesakit Covid-19 boleh divaksin, tidak perlu tiga bulan

9 Jul 2021, 1:42 PM
Bekas pesakit Covid-19 boleh divaksin, tidak perlu tiga bulan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Bekas pesakit Covid-19, iaitu individu yang pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2, tidak perlu lagi menunggu tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan dalam persidangan JKJAV semalam.

Menurut JKJAV kemunculan varian baharu Covid-19 menyebabkan keperluan untuk suntikan vaksin diberikan lebih awal dari tempoh tiga bulan ditetapkan sebelum ini.

"Sehubungan itu bekas pesakit Covid-19 yang disahkan bebas daripada virus kini dibenarkan untuk divaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan," katanya hari ini.

JKJAV berkata bagaimanapun, bagi pesakit yang menerima antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau ‘convalescent plasma’ sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, mereka hanya boleh diberikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas pulih.

"Ini adalah langkah berjaga-jaga diambil kini sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin," katanya.

JKJAV juga menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun mempunyai temu janji atau sebagai pengiring.

Katanya mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619