AGENDA

Tiada kenaikan yuran pengajian IPT - Noraini

30 Jun 2021, 8:25 AM
Tiada kenaikan yuran pengajian IPT - Noraini

NILAI, 30 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian dikenakan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain kerana kebanyakan pelajar kini tidak berada di kampus akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Dari awal kita telah maklumkan bahawa tiada kenaikan (yuran pengajian), dan bil berkaitan aktiviti lain memang kementerian sudah minta supaya tidak dicajkan walaupun universiti mempunyai autonomi mengenai yuran dan saya difahamkan ada universiti yang berikan diskaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Universiti Sains Islam Malaysia di ini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menyarankan KPT mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua IPT berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas perkara lain, Noraini berkata setakat ini kira-kira 30 peratus pensyarah universiti telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan sebahagiannya melibatkan tenaga pengajar fakulti perubatan dan pergigian.

“Keutamaan pelajar lain selepas ini tertumpu kepada mereka yang berada di kampus kerana tiada akses Internet untuk pengajian dalam talian serta pelajar tahun akhir,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619