SELANGOR

Polis Shah Alam sahkan terima laporan bayi tertukar

13 Jun 2021, 8:42 AM
Polis Shah Alam sahkan terima laporan bayi tertukar

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata laporan berkenaan dibuat oleh suami kepada usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, iaitu satu daripada pasangan yang terlibat, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 9 pagi tadi.

“Laporan polis dibuat selepas si suami menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

"Laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut laporan media, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi kelmarin (11 Jun) manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis).

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah semalam.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam semalam yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya, bagaimanapun bercadang mengambil tindakan undang-undang ekoran kecuaian hospital berkenaan dan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619