AGENDA

Lebih 90 pelajar Orang Asli cemerlang SPM, dua peroleh 9A

12 Jun 2021, 3:09 AM
Lebih 90 pelajar Orang Asli cemerlang SPM, dua peroleh 9A

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seramai 93 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan dua daripadanya, berjaya meraih keputusan 9A.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelajar yang memperoleh keputusan 9A itu iaitu Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Selain itu, katanya lapan pelajar mencatat keputusan cemerlang 8A, 10 pelajar memperoleh (7A), lapan pelajar (6A), 31 pelajar memperoleh (5A), manakala 34 pelajar meraih keputusan 4A.

“Umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara dilanda dengan penularan pandemik Covid-19.

“Penularan pandemik ini menjejaskan persiapan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020, namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar Orang Asli tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan pelajar tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang berganding bahu dalam menyediakan pelbagai bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar Orang Asli bersaing dengan masyarakat lain.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan pelajar Orang Asli melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan, pakaian serta bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib melalui pendidikan.

“KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619