AGENDA

Sisa buangan alatan petugas kesihatan naik lebih 100 peratus

5 Jun 2021, 1:30 PM
Sisa buangan alatan petugas kesihatan naik lebih 100 peratus

SHAH ALAM, 5 JUN: Sisa buangan klinikal dijangka terus meningkat sehingga 173.25 tan metrik sebulan dalam tempoh 12 bulan akan datang jika pandemik Covid-19 berlanjutan.

Timbalan menteri alam sekitar dan air berkata pembuangan sisa berkaitan seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi diguna petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan meningkat 111.94 peratus berbanding pada Disember 2019 sebelum pandemik.

"Ia boleh dianggap satu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik," kata Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad seperti dilapor Berita Harian.

Katanya, perkara itu menjadi antara keutamaan berikutan sisa pembuangan terjadual memerlukan pengendalian serta pelupusan khas sistematik.

Ia seperti dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Masrizal berkata ketika ini sisa klinikal pakaian perlindungan diri (PPE) diperoleh daripada pusat kawalan dan rawatan seperti hospital Covid-19 serta pusat kuarantin yang sudah diwartakan di seluruh negara.

"Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain berkaitan telah mengambil langkah perlu bagi mengatasi kekangan kecekapan pelupusan ini namun masih mempunyai tangguhan (backlog) sisa buangan klinikal di Malaysia.

"Setakat ini, sebanyak 12 insinerator, empat ketuhar gelombang mikro dan satu ozonator telah dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 ini dengan kapasiti keseluruhan 5,168.05 tan metrik.

"Nilai ini masih mampu untuk menampung penjanaan sisa klinikal semasa iaitu 4,394.37 tan metrik," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619