AGENDA

Jadual Liga-M dipinda, beri laluan persiapan skuad kebangsaan

6 Apr 2021, 12:36 AM
Jadual Liga-M dipinda, beri laluan persiapan skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kalendar perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 akan dipinda bermula pada 23 April ini sebagai memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan menghadapi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

Pindaan tersebut turut mengambil kira perubahan jadual Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan.

Beliau berkata pengurusan skuad Harimau Malaya memohon untuk memulakan kem latihan pusat bermula 16 Mei depan sementara saingan Liga Juara-Juara AFC Zon Timur yang dijadual bermula 21 April sehingga 7 Mei telah dipinda bermula 21 Jun sehingga 7 Julai.

Katanya keputusan pindaan kalendar perlawanan tersebut dibuat selepas mesyuarat secara dalam talian bersama kesemua pasukan Liga-M.

"Berdasarkan jadual asal, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan. Kini menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier bermain empat perlawanan," katanya.

Beliau turut menambah selain daripada saingan Liga Juara-Juara AFC, tumpuan turut perlu diberikan kepada dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang bersaing dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC secara berpusat di Singapura dari 22 sehingga 28 Jun.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perubahan kalendar perlawanan Liga-M turut menyaksikan tarikh tempoh pendaftaran kedua Liga-M musim ini terpaksa dipinda daripada 5 Julai sehingga 1 Ogos kepada 3 Mei sehingga 30 Mei.

Sementara itu, Ab Ghani menjelaskan saingan Liga Super dijadual berakhir pada 14 Ogos manakala Liga Premier pada 8 Ogos.

"Undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan diadakan sebelum tamat saingan liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, MFL akan mengeluarkan jadual baharu kalendar Liga-M dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619