AGENDA

Kapal disyaki bawa kontena isi sisa plastik ditahan esok

21 Mac 2021, 12:00 AM
Kapal disyaki bawa kontena isi sisa plastik ditahan esok

PUTRAJAYA, 21 MAC: Malaysia akan menahan sebuah kontena dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik apabila ia tiba di Pelabuhan Klang esok.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan semalam berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung satu kontena dari Los Angeles yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Kapal tersebut berlepas dari Los Angeles pada 14 Feb lepas (2021) dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada 22 Mac.

Beliau berkata JAS selaku 'Competent Authority' bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2021 mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik tersebut diterima dari negara pengeksport.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westport Malaysia Sdn Bhd dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena tersebut.

Pemeriksaan bersepadu JAS, JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang, katanya.

"Saya telah mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi amaran kepada agen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang bersubahat dalam mengimport sebarang sisa terutamanya sisa plastik ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang telah ditetapkan oleh Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619