SELANGOR

Dua anggota polis antara empat ditahan samun kedai 24 jam

16 Mac 2021, 3:35 PM
Dua anggota polis antara empat ditahan samun kedai 24 jam

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua anggota polis, dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam satu kes samun di sebuah kedai 24 jam di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi di kawasan SS6 itu, seorang wanita memasuki premis kedai berkenaan dengan memakai ‘vest’ polis, dan mengambil beberapa barang di dalam kedai itu tanpa membuat bayaran.

Beliau berkata pekerja premis cuba meminta bayaran, namun wanita berkenaan memberi alasan pegawai atasannya akan datang untuk membuat bayaran dalam tempoh sejam, dan dia terus melarikan diri dengan menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic.

“Antara barang yang diambil ialah lima kotak rokok pelbagai jenama, pemetik api dan gula-gula yang kesemuanya bernilai RM146.30,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata hasil siasatan, polis menahan dua anggota polis berumur 31 dan 38 tahun pada sebelah petangnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan pada sebelah malamnya pula seorang wanita dan lelaki tempatan, masing-masing berumur 36 dan 27 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kejadian.

Beliau berkata semakan polis mendapati wanita itu mempunyai tujuh rekod kes jenayah dan satu kes dadah manakala lelaki yang ditahan itu mempunyai lima rekod kes jenayah dan lapan kes dadah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619