AGENDA

Aktiviti sukan individu, berpasukan dibenar di kawasan PKPB, PKPP

6 Mac 2021, 9:11 AM
Aktiviti sukan individu, berpasukan dibenar di kawasan PKPB, PKPP

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Aktiviti sukan dan rekreasi individu serta berpasukan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan atau perlawanan kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa dan kebenaran pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, bagi penganjuran kejohanan atau pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) yang melibatkan pergerakan rentas negeri, kebenaran polis adalah diperlukan.

Ia juga mesti mengikut Model Gelembung Sukan dan tanpa kehadiran penonton.

Bagi penganjuran di peringkat antarabangsa, KBS berkata ia mesti mendapat kebenaran pihaknya terlebih dahulu.

Menurut KBS, sepanjang arahan kawalan pergerakan itu, latihan pusat berfasa bagi pasukan Liga-M, MHL, STL secara ‘home or camp quarantine’ serta program latihan berpusat Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri secara ‘camp quarantine’ adalah dibenarkan.

Turut dibenarkan aktiviti berkumpulan yang dilakukan secara setempat seperti senamrobik, yoga dan tarian sukan dengan had kapasiti 50 peratus daripada kapasiti kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Bagaimanapun, aktiviti massa yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti larian ria, pacu ria, maraton dan triatlon adalah tidak dibenarkan.

Kenyataan itu menyebut bagi Sabah dan Sarawak, tatacara operasi piawainya adalah berbeza dan orang ramai disaran merujuk ke laman sesawang Majlis Keselamatan Negara untuk maklumat lanjut.

Baru-Baru ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor,Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur manakala Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan diletak di bawah PKPP bermula 5 hingga 18 Mac depan.

Negeri Sarawak pula terus diletak di bawah PKPB sehingga 15 Mac depan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619