AGENDA

Isu J&T: Staf tidak puas hati bayaran komisen - KSM

12 Feb 2021, 7:03 AM
Isu J&T: Staf tidak puas hati bayaran komisen - KSM

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Siasatan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di premis syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express di Perak berikutan kejadian pengagihan bungkusan secara ganas, mendapati ia berpunca daripada bebanan kerja dan isu pembayaran komisen pekerja syarikat itu.

Menerusi kenyataan hari ini, KSM memaklumkan siasatan mendapati terdapat pekerja terutamanya di bahagian penghantaran tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

"Siasatan turut mendapati terdapat dalam kalangan pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang," menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan beberapa pekerja syarikat berkenaan membaling barangan pelanggan dengan ada yang berteriak dipercayai tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah pembayaran gaji.

Menurut kenyataan itu, pihak majikan memaklumkan bahawa isu yang timbul disebabkan salah faham itu telah diselesaikan selain mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan.

"Majikan digesa supaya sentiasa berbincang dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan mereka. Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619