AGENDA

PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

24 Jan 2021, 10:29 AM
PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok (25 Januari) sehingga 8 Februari, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam kalangan tahanan di penjara terletak di Pahang itu dengan sebanyak 615 kes positif direkodkan melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

"Tatacara operasi piawai (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya menerusi kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan dijamin.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142).

Menerusi Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, beliau berkata seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan selain dua bot/kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan 6,894 pekerja warga asing menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 154 orang disahkan positif Covid-19.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619