AGENDA

Op Murni bantu mangsa bah hingga akhir musim tengkujuh

10 Jan 2021, 2:49 PM
Op Murni bantu mangsa bah hingga akhir musim tengkujuh

KUANTAN, 10 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Op Murni bagi membantu mangsa banjir sehingga berakhir musim tengkujuh yang dijangka pada Mac ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata fasa seterusnya operasi berkenaan akan membabitkan tugas pascabanjir seperti membantu mangsa banjir kembali ke kediaman mereka dan pembersihan tempat awam.

"Ada dua fasa iaitu fasa pertama kita membantu memindahkan mangsa banjir, mengangkut barangan dan menghantar bekalan ke kawasan yang terputus hubungan dengan menggerakkan pelbagai aset dan anggota yang dijalankan ketika ini.

"Antara aset yang digerakkan ialah helikopter dan pelbagai aset lain bagi membantu menghantar bantuan," katanya kepada Bernama selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Mat Kilau di sini, malam ini.

Terdahulu, Ismail Sabri melawat dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2, Kelantan, dan SK Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata pada fasa kedua Op Murni, ATM akan membuat penyelarasan dengan Pusat Pengurusan Banjir Daerah bagi menawarkan khidmat pascabanjir.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota ATM yang terbabit dalam Op Murni kerana berkorban masa dan tenaga untuk mangsa banjir.

Ismail Sabri berkata penghargaan juga harus diberikan kepada anggota Kem Batu 3 Temerloh kerana kem berkenaan turut dinaiki air akibat banjir, namun anggota di sana masih komited terlibat dalam Op Murni.

Selasa lepas, media melaporkan ATM mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota berserta 1,015 aset dalam Op Murni bagi membantu mangsa-mangsa banjir di enam negeri yang terjejas teruk iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619