SELANGOR

Tiga anggota polis antara lima ditahan kes samun kereta

30 Dis 2020, 3:05 PM
Tiga anggota polis antara lima ditahan kes samun kereta

PETALING JAYA, 30 DIS: Kegiatan tiga anggota polis dan dua lagi individu yang disyaki berkomplot menyamun kereta yang dibawa masuk dari Singapura terbongkar apabila mereka ditahan Isnin lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka ditahan di Pulau Pinang dan Kedah selepas disyaki menyamun sebuah kereta jenis Audi TT milik seorang lelaki warga asing di Ara Damansara, Selangor pada Ahad lepas.

Beliau berkata kejadian itu berlaku semasa lelaki berkenaan berjumpa seorang ejen jualan kereta di Jalan PJU 1A/54 pada malam Ahad bagi membincangkan urusan jualan keretanya, namun mereka didatangi dua lelaki yang memakai ves polis yang kemudiannya ‘menangkap’ ejen jualan itu, dan kemudiannya melarikan kereta.

“Bertindak atas laporan, polis menyerbu sebuah bilik hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan menahan suspek lelaki tempatan iaitu ejen jualan kereta berkenaan dan seorang suspek wanita warga tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Nik Ezanee berkata siasatan terhadap suspek lelaki itu membawa kepada penahanan dua anggota polis berusia 34 dan 51 tahun di pekarangan IPD Kuala Muda, Kedah, semalam.

"Susulan daripada itu, seorang lagi suspek iaitu anggota polis berusia 31 tahun ditahan di IPD Ipoh, Perak semalam," katanya.

Nik Ezanee berkata anggota polis berkenaan disyaki sudah beberapa kali melakukan aktiviti jenayah itu yang menyasarkan warga asing yang ingin membeli kereta dari Singapura dan dipercayai memperoleh upah sehingga RM1,000 bagi setiap kereta yang disamun.

Beliau berkata antara yang barangan dirampas daripada suspek dalam kes ini ialah ves tertera logo dan tulisan kastam, wang tunai RM20,000, kereta jenis Perodua Alza, kereta jenis Volkswagon Golf dan pelbagai jenis dadah.

Katanya, suspek lelaki direman bermula semalam sehingga Isnin ini, suspek wanita direman bermula semalam sehingga Jumaat, manakala tiga anggota polis direman bermula hari ini sehingga Sabtu bagi siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua anggota polis berusia 38 dan 30 tahun ditahan di Balai Polis Sri Hartamas kerana disyaki memeras ugut seorang lelaki dan mengambil wang RM5,000 dengan alasan supaya tidak dikenakan tindakan kerana membeli nombor ekor haram, Khamis lepas.

Nik Ezanee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, dan semua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat.

Sementara itu Nik Ezanee berkata tahun ini menyaksikan 55 anggota IPD Petaling Jaya dikenakan tindakan kerana kesalahan tatatertib dan 12 anggota dikenakan tindakan kerana kesalahan jenayah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619