AGENDA

Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera - Anwar

30 Dis 2020, 1:55 AM
Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera - Anwar
Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera - Anwar

SHAH ALAM, 30 DIS: Aspek bahasa, budaya dan sastera tidak harus diremehkan memandangkan ia merupakan asas kehidupan manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata masyarakat kini dilihat lebih mengutamakan bidang ekonomi dan teknologi dan menganggap ia tuntutan penting negara.

"Ini tidak salah tapi bila isu seni, budaya diremehkan, ia akan mengakibatkan nilai akhlak dan etika asas manusia dipinggirkan," katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 karya Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman.

Menurutnya, karya sastera merupakan satu penyampaian indah serta tulus yang tidak mungkin dapat dihasilkan setiap individu.

"Terpancar dari hati berkenaan visi dan wawasan. Ini menjadikannya indah dan bukan hanya luahan rasa peribadi. Bila digabungkan ia menghasilkan mutu seni yang amat tinggi nilainya," kata Anwar.

[caption id="attachment_455121" align="alignnone" width="781"] Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman berucap ketika majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu, Dinsman berkata buku beliau memuatkan hasil karya yang menggambarkan dunia gelap dalam bidang seni dan sastera.

Katanya, sebahagian kandungan buku terbabit tidak diketahui memandangkan ia hanya dikeluarkan di akhbar Harakah sahaja.

"Saya mahu menganjurkan seminar era reformasi yang cuba digelapkan pihak tertentu namun ia agak sukar.

"Sepatutnya seminar ini dijadualkan berlangsung sebelum Covid-19 namun terpaksa ditunda. Ia mendapat kerjasama dari Akademi Pengajian Melayu di UM (Universiti Malaya). Saya tidak tahu sama ada orang lain berani mengadakannya (selepas ini)," katanya.

Karya Dinsman itu mempunyai keunikan tersendiri yang menceritakan latar proses reformasi negara sepanjang 2008 hingga 2011.

Isi kandungan buku itu turut memuatkan pengalaman perjuangannya dalam membentuk masyarakat, polisi dan negara dari pelbagai sudut selain terdapat nukilan khas untuk Anwar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619