AGENDA

Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen

28 Dis 2020, 9:44 AM
Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging di negara ini, bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan lanjut bersama pihak Bahagian Pengurusan Halal Jakim turut diadakan bagi menyelesaikan isu itu.

“Saya juga difahamkan, lesen kebenaran menjual daging turut melibatkan kementerian lain, justeru kami akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan kementerian yang terlibat.

“Saya akan cakna isu ini dan meninjau sebarang bentuk permasalahan yang ada kaitan dengan logo halal Jakim, sekiranya ada mana-mana kelemahan, kita akan kemas kini,” katanya kepada pemberita di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Beliau berkata pihaknya akan terus berkolaborasi dengan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi memastikan masyarakat mendapat produk daging import yang 100 peratus halal.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan pengeluar makanan proses Ramly Food Prosessing Sdn Bhd (RFPSB) yang mengesahkan tiada pembabitan orang tengah dalam urusan import daging dan bahan mentah daripada syarikat itu.

“Saya ucapkan syabas kepada Ramly Burger kerana kenyataan seperti itu akan hilangkan keraguan dan kerisauan orang ramai yang membeli produk syarikat berkenaan.

“Mana-mana penjual daging juga digalakkan menghebahkan kenyataan sama bagi memastikan setiap rakyat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang halal dan bersih,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619