AGENDA

Empat lelaki didakwa bunuh pesara Mardi, 9 Mac 2021 sebutan semula

9 Dis 2020, 4:11 AM
Empat lelaki didakwa bunuh pesara Mardi, 9 Mac 2021 sebutan semula

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.

S. Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619