AGENDA

Lima syarikat dikompaun RM750,000 daftar prabayar tanpa pengesahan

9 Dis 2020, 2:52 AM
Lima syarikat dikompaun RM750,000 daftar prabayar tanpa pengesahan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Disember lalu atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

"Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

SKMM memaklumkan tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Katanya, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan (scam) dalam talian yang semakin meningkat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619