AGENDA

Perintah berkurung di Sepanyol paksa pelumba Supermoto negara pulang awal

29 Okt 2020, 3:58 PM
Perintah berkurung di Sepanyol paksa pelumba Supermoto negara pulang awal

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pelumba Supermoto negara Khairulamirin Yahaya terpaksa pulang awal ke Malaysia selepas kerajaan Sepanyol mengambil keputusan melaksanakan perintah berkurung di negara itu susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui beliau kecewa kerana tidak dapat bersaing dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol pada musim ini yang terpaksa dibatalkan susulan penularan kes Covid-19 di negara tersebut.

“Kami sepatutnya balik ke Malaysia pada 16 Nov ini tetapi kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa pulang.

“Keadaan di Sepanyol semakin serius jadi kami membuat keputusan untuk pulang ke tanah air lebih awal untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya kepada wartawan tempatan hari ini menerusi rakaman audio.

Beliau juga berasa amat kecewa kerana yakin dapat menyaingi pelumba dalam kelompok hadapan ataupun dalam kelompok besar.

“Bagaimanapun, saya perlu menerima hakikat bahawa perlumbaan yang dibatalkan adalah untuk menjaga diri kami di sini juga.

“Dengan perlumbaan yang dibatalkan ini, saya akan memperbaiki diri dengan membuat latihan lebih kerap dan mempersiapkan diri untuk siri perlumbaan bagi ketegori SM-Road bagi tahun 2021,” katanya.

Pelumba pasukan Supermotoland Husqvarna itu berkata fokus beliau selepas ini adalah memperbaiki prestasinya bagi menghadapi saingan pada musim hadapan.

Berdasarkan perancangan awal, Khairulamirin sepatutnya berlepas ke Sepanyol pada Januari lepas namun mengambil keputusan ke negara itu pada Julai kerana Kejuaraan Supermoto Sepanyol yang dijadualkan pada April ditunda ke bulan tersebut (Julai) susulan penularan Covid-19 di Sepanyol.

Beberapa kawasan perbandaran di Sepanyol dilaporkan bakal melaksanakan perintah berkurung mengikut keluasan kawasan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619