AGENDA

Penipuan pelaburan saham: 12 warga China ditahan

26 Okt 2020, 3:21 PM
Penipuan pelaburan saham: 12 warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Seramai 12 warga China termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang menyasarkan pelabur dari negara berkenaan, ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata mereka yang ditahan berusia 23 hingga 37 tahun dengan sembilan daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak tahun lepas dan kerap berpindah randah dengan menjadikan kondominium dan hotel mewah sekitar Lembah Klang sebagai pusat operasi.

“Mereka mempromosi dan mempengaruhi pelabur menggunakan skrip diberi ketua sindiket melalui aplikasi WeChat di mana mereka boleh menunjukkan keadaan pasaran saham semasa.

“Pada masa ini, tiada laporan mengaitkan sindiket ini dalam kalangan rakyat tempatan dengan mereka menggunakan fungsi WeChat Pay dan Alipay pada aplikasi tersebut untuk berurus niaga dengan pelanggan dari China tanpa bersemuka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu mampu membayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan kepada setiap ahlinya dan mereka juga mampu menyewa hotel dan kondominium mewah dengan bayaran RM9,000 sehingga RM13,000 sebulan.

Zainuddin berkata kesemua suspek kini direman bermula Sabtu lalu sehingga esok dan polis akan membuat permohonan melanjutkan tempoh reman tersebut.

Selain tujuh unit komputer riba dan 125 unit telefon bimbit, polis turut merampas wang tunai asing bernilai RM28,144, katanya.

Berikutan itu, beliau berkata polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan dipercayai mengawal sindiket berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 6(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1958/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 617 individu ditahan menerusi 60 serbuan berhubung kegiatan jenayah menggunakan pusat panggilan di seluruh negara bermula awal Januari sehingga Jumaat lalu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619