AGENDA

KPM: Tutup sekolah berdasar data, perbincangan KKM, MKN

8 Okt 2020, 12:22 AM
KPM: Tutup sekolah berdasar data, perbincangan KKM, MKN

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

"Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” kata Radzi.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, beliau berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit adalah kawasan Zon Merah.

"Sepertimana yang dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619