AGENSI

Tahap pencemaran LRA Sungai Semenyih semakin berkurang

5 Okt 2020, 11:56 AM
Tahap pencemaran LRA Sungai Semenyih semakin berkurang

SHAH ALAM, 5 OKT: Tahap pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berkurang kepada dua TON (Nombor Bau Nilai Ambang) setakat jam 6.30 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bacaan di LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula kekal sembilan TON dalam tempoh sama.

"LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran berada pada tahap sifar TON sebanyak tiga kali berturut-turut semasa ujian pensampelan air mentah dilakukan," kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Beliau berkata sebanyak 79 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Katanya, Air Selangor turut menyediakan 20 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 9 pusat khidmat setempat dan 13 pili awam untuk kemudahan pengguna.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com

Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau App Store untuk maklumat terkini bekalan air.

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619