AGENDA

MGF beri peluang kepada gimnas dari luar Lembah Klang

27 Sep 2020, 2:51 AM
MGF beri peluang kepada gimnas dari luar Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan memberi lebih peluang kepada atlet peringkat akar umbi di luar Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengisi barisan gimnas baharu di negara ini.

Presiden MGF Rachel Lau berkata, usaha itu bagi melahirkan lebih ramai gimnas seperti Farah Ann Abdul Hadi untuk mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

"Farah Ann telah membanggakan kami setelah layak ke Sukan Olimpik Tokyo. Oleh itu, untuk memiliki barisan pelapis yang terbaik adalah sangat penting buat kami.

"Saya rasa kita terlalu fokus pada atlet di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ini, jadi saya ingin memberi peluang yang sama kepada peringkat akar umbi yang tidak pernah mendapat peluang, misalnya di Terengganu dan Sabah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan MGF ke-25, di sini, semalam.

Lau juga percaya barisan jurulatih, pasukan teknikal dan sokongan akan melakukan yang terbaik untuk mencari gimnas terbaik seperti Farah Ann.

Farah Ann, 26, menjadi gimnas artistik wanita pertama di negara ini yang layak ke Olimpik selepas 20 tahun apabila menduduki tangga ke-16 daripada 20 dalam sesi kelayakan acara individu keseluruhan di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman, tahun lepas.

Beliau juga adalah gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik, selepas Au Li Yen pada 2000 (Sydney) dan Ng Shu Wai pada 2004 (Athens).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619