AGENDA

Anak perempuan VIP antara 29 ditahan langgar PKPP

26 Ogos 2020, 11:42 PM
Anak perempuan VIP antara 29 ditahan langgar PKPP

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Anak perempuan seorang kenamaan antara 29 pengunjung yang ditahan oleh polis dalam serbuan ke atas sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail dekat sini awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pada 1.20 pagi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, dipercayai pengurus pub serta seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki pekerja premis.

“Anak kenamaan itu antara 20 lelaki dan sembilan wanita tempatan yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya empat warga asing yang berumur antara 33 dan 52 tahun terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos hingga 4 September ini bagi siasatan lanjut, manakala 29 warga Malaysia berusia 21 hingga 48 tahun berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 masing-masing.

“Polis Kuala Lumpur menegaskan tidak mengamalkan double standard dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuklah anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan anak perempuan seorang kenamaan ditahan di sebuah pub kerana melanggar PKPP.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619