AGENDA

Kaunter permit sementara dibuka untuk penjaja, peniaga Sungai Buloh

14 Ogos 2020, 4:24 AM
Kaunter permit sementara dibuka untuk penjaja, peniaga Sungai Buloh
Kaunter permit sementara dibuka untuk penjaja, peniaga Sungai Buloh

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka kaunter selama dua hari untuk membantu penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandar Baru Sungai Buloh memohon permit niaga sementara.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuka kaunter berkenaan di Dewan Meranti, Jalan 1D di kawasan tersebut antara 8 pagi hingga 4 petang esok dan 8 pagi hingga tengah hari Ahad.

Dalam notis pemberitahuan kepada peniaga kecil dan pemilik premis yang dikeluarkan Datuk Bandar, MBSA juga menyediakan taklimat khas antaranya daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Bangunan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran.

Selain permohonan permit lesen penjaja sementara, taklimat tersebut juga melibatkan permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

"Tuan-puan adalah dijemput untuk hadir ke program ini. MBSA akan membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara, permohonan permit binaan bumbung sengkuap, dinding sesekat dan sebagainya," notis itu dipetik.

Difahamkan kira-kira 80 peniaga kecil di bandar baharu itu, dalam Seksyen U20, akan mendapat manfaat daripada langkah MBSA membantu usahawan tempatan.

Pada 12 Ogos lalu, PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619