AGENDA

Cuepacs: Naikkan elaun Cola penjawat awam gred 41 ke atas

26 Jul 2020, 7:50 AM
Cuepacs: Naikkan elaun Cola penjawat awam gred 41 ke atas

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presidennya Adnan Mat berkata tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan Cola bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan Cola itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas, kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di sini.

Kenaikan Cola sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Sementara itu, Adnan meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini, antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Katanya kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” tegasnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619