AGENDA

Polis: Dua wanita disyaki conteng mural pemimpin negara

20 Jul 2020, 2:39 PM
Polis: Dua wanita disyaki conteng mural pemimpin negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.

"Kami sedang mengesan mereka… Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira 8 pagi tadi.

Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619