AGENDA

Covid-19: 47 rakyat Malaysia selamat pulang dari Arab Saudi

17 Jul 2020, 1:58 PM
Covid-19: 47 rakyat Malaysia selamat pulang dari Arab Saudi

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Empat puluh tujuh rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selamat pulang ke tanah air hari ini dari Arab Saudi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata proses kepulangan mereka dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sendiri sepenuhnya oleh penumpang.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.26 tengah hari dari Arab Saudi menerusi penerbangan khas Saudia Airlines.

"Kesemua 47 orang rakyat Malaysia ini diwajibkan untuk menjalani proses saringan kesihatan setibanya mereka di KLIA dan seterusnya menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata Wisma Putra juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah membantu dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air.

"Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619