AGENDA

MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa guna bahasa Melayu

13 Jul 2020, 6:29 AM
MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong dan mendukung penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Presiden MBM Jufitri Joha berkata tujuan pindaan akta tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang.

"Setelah hampir 64 tahun merdeka, malangnya umum melihat bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

"DBP sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jufitri, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

"Bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

"Justeru, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995)," katanya.

Pada masa sama katanya, pelantikan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dilihat satu langkah yang tepat, sementara MBM juga merupakan antara anggota jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan bagi mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan status negara maju.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619