AGENDA

Masyarakat kini bebas tetapi mesti tingkat kawalan kendiri

21 Jun 2020, 12:37 AM
Masyarakat kini bebas tetapi mesti tingkat kawalan kendiri

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang memasuki hari ke-12, menyaksikan lebih banyak ‘kebebasan’ dinikmati namun disiplin pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat perlu terus dipertingkatkan.

Walaupun kini masyarakat sudah boleh 'ke sana dan ke sini' namun perlu beringat penguatkuasaan terhadap SOP masih dikuatkuasakan dan tidak sewenang-wenangnya boleh dilupakan sehingga melanggar peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan seramai 40 individu telah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun, daripada jumlah itu 38 individu ditahan susulan kesalahan menjalankan aktiviti yang menyukarkan jarakan sosial.

Undang-undang yang ditetapkan bertujuan membendung pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan sejak 18 Mac lepas.

Perkembangan terkini Covid-19 menyaksikan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Labu Lanjut, Sepang, yang merekodkan lima kes dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan Covid-19 dalam kluster itu disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

Semalam, kes baharu Covid-19 di negara ini merekodkan 21 kes.

KKM mengingatkan jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti, justeru masyarakat diingatkan mengambil langkah pencegahan terutamanya ketika melakukan aktiviti kunjung-mengunjung bagi melindungi kanak-kanak dan warga emas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619