AGENDA

Penganggur didenda RM5,000 hina Nabi di Facebook

12 Dis 2019, 5:02 AM
Penganggur didenda RM5,000 hina Nabi di Facebook

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Akibat memuat naik hantaran jelik bersifat menghina Nabi Muhammad SAW, seorang penganggur didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 37, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook miliknya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zahrein dengan secara sedar didakwa telah memulakan penghantaran menggunakan laman Facebook, membuat komunikasi jelik yang mengandungi antaranya perkataan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Hantaran yang dibuat dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 9.30 malam, 8 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara yang boleh sampai satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam L.A Gomes memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik di masa akan datang.

“Anak guam saya memuat naik hantaran itu kerana ingin memulakan perbincangan di media sosial dan sekarang telah dipadam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abdul Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penduduk di Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Hantaran yang dibuat telah dibaca oleh ribuan orang dan telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di negara ini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619