AGENDA

Langkah kerajaan banteras rasuah mula berhasil - Teresa Kok

11 Dis 2019, 12:18 AM
Langkah kerajaan banteras rasuah mula berhasil - Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kerajaan akan terus bekerja keras dengan mandat yang diberikan rakyat untuk mengubah negara ini menjadi sebuah negara berintegriti, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dalam kenyataan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa semalam, beliau menggariskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membasmi gejala rasuah di dalam negara.

Antara lain, beliau menyentuh langkah kerajaan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), pengisytiharaan aset oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN), dasar tiada penerimaan hadiah oleh kerajaan serta beberapa kes rasuah berprofil tinggi.

Kok berkata amalan rasuah hanya boleh dikurangkan secara berperingkat di mana kepimpinan teras sesebuah negara itu bersih dan bebas rasuah.

Mengulas langkah antirasuah, katanya, beberapa agensi kerajaan penting tidak lagi berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kini agensi berkenaan melaporkan kepada Parlimen.

Ini termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Jabatan Audit Negara.

Kok berkata pelbagai langkah diambil kerajaan dan usaha SPRM membasmi rasuah sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata Malaysia mula membersihkan nama daripada skandal rasuah di mata dunia dengan beberapa kes rasuah terhadap beberapa bekas pemimpin kanan negara.

“ Biar kita jangan lupa dengan berbilion ringgit yang hilang dalam projek utama dan skim pelaburan semasa negara diterajui oleh kerajaan terdahulu,” katanya merujuk kepada kerugian yang dialami oleh Felda dan Tabung Haji.

Memetik kes rasuah di bawah kementeriannya, Kok berkata Lembaga Getah Malaysia (MRB) dilanda masalah rasuah yang besar membabitkan pegawai kerajaan dan kroni sebuah parti politik.

Menurut Laporan Audit Negara, Kok berkata, kerajaan terdahulu telah memperdaya dan memaksa MRB menjual 2,800 ekar tanahnya di Sungai Buloh pada harga di bawah pasaran sebanyak RM1.5 bilion pada 2010.

Kok berkata usaha mencegah rasuah oleh kerajaan tidak terlepas pandangan.

Menurut Kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai persepsi rakyat mengenai kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah telah meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepadda 70.8 peratus tahun lalu, katanya.

Beliau berkata indeks seperti Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan telah meningkat kepada 60 peratus tahun ini berbanding 46 peratus pada 2018.

Beliau berkata, tahun lalu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International menunjukkan Malaysia kini berada pada kedudukan 61 daripada 180 buah negara

Menurutnya, dengan pelancaran Pelan Antirasuah Nasional tahun ini serta pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi, Malaysia kemungkinan akan memperbaiki ranking dalam CPI.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619