EXCO

Lebih banyak idea baharu anak muda digarap

2 Nov 2019, 12:50 AM
Lebih banyak idea baharu anak muda digarap

SHAH ALAM, 2 NOV: Peruntukan RM1 juta bagi penganjuran Konvensyen Mahasiswa Selangor membuktikan kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap golongan muda dalam menggarap idea baharu yang lebih segar ke arah memacu pembangunan Selangor pada masa hadapan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, inisiatif itu diyakini mampu mendekatkan mahasiswa dengan pemimpin Kerajaan Negeri melalui ruang yang diberikan untuk berbincang dan menyuarakan pandangan dalam konvensyen terbabit.

“Ini adalah pendekatan baharu untuk mendampingi golongan muda, khususnya mahasiswa kerana mereka sebenarnya perlu diberikan peluang untuk berwacana dalam konvensyen sama ada di negara sendiri mahupun luar negara.

“Kita tahu bahawa ramai pelajar kita di luar negara yang memiliki kehebatan dan kali ini ia akan dapat membina jaringan serta rangkaian bersama mahasiswa luar negara, selain di negara sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi pembentangan Belanjawan #Selangor2020, di Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

Sementara itu, mengulas peruntukan RM375.78 juta bagi aktiviti pemantapan kemajuan agama Islam, Mohd Zawawi yang juga EXCO Hal Ehwal Agama dan Pendidikan berkata, ia sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang melihat aspek pembangunan Islam di Selangor kurang diberi perhatian.

Sebaliknya, katanya, komitmen itu jelas membuktikan Kerajaan Negeri istiqomah dalam membela serta mendaulatkan Islam di Selangor.

“Ada yang mengatakan bahawa Islam terpinggir, akan tetapi dengan bajet diberikan ini yang merangkumi pembangunan masjid dan surau serta sekolah agama menunjukkan Kerajaan Negeri serius dalam membangunkan Islam,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619