AGENDA

Gas helium jika dicampur boleh undang bahaya - TPM

13 Okt 2019, 4:57 AM
Gas helium jika dicampur boleh undang bahaya - TPM

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Insiden belon meletup di Dataran Putrajaya semalam, berkemungkinan berpunca daripada gas helium yang dicampur bagi menjimatkan kos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, sekiranya bahan tersebut dicampur sebarang kemungkinan boleh berlaku sehingga mengundang bahaya.

“Kalau gas helium sahaja tidak membimbangkan kerana setahu saya kalau tidak ada campuran tidak ada masalah.

“Tetapi kalau gas itu (helium) dicampur sebab untuk jimatkan kos, itu kita risau,” katanya selepas majlis penyampaian Surat Tawaran Rumah Transit Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Insiden belon meletup dipercayai berisi gas helium selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya semalam menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an melecur.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk menggunakan pemetik api.

Daripada jumlah itu, lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua.

Bagi mengelak insiden sama berulang, Dr Wan Azizah mengingatkan orang ramai agar tidak merokok dan menggunakan pemetik api secara sengaja atau tidak, ketika berada berdekatan belon helium yang menjadi ‘prop’ pada sebarang majlis.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sehingga kini, empat pesakit stabil dan akan dibenarkan keluar wad selepas menjalani pemeriksaan rapi daripada doktor.

“Mereka adalah tiga dewasa dan seorang kanak-kanak. Pesakit kini stabil namun masih perlukan rawatan lanjut kerana luka,” katanya.

Susulan insiden itu, beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan kaunseling segera kepada mangsa terlibat yang trauma.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan timbalannya Teo Nie Ching berhubung garis panduan keselamatan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa hadapan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619