AGENDA

Najib dibenar jumpa pakar mata

18 Sep 2019, 4:45 AM
Najib dibenar jumpa pakar mata

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihentikan pada jam 11.30 pagi bagi membolehkan bekas perdana menteri itu berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib supaya perbicaraan yang masuk hari kesembilan dihentikan lebih awal pada prosiding pagi yang biasanya akan tamat pada jam 1 tengah hari.

Hakim Sequerah mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada jam 2 petang.

Terdahulu Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa masalah sakit mata yang dihadapi anak guamnya mungkin disebabkan keadaan jerebu ketika ini.

"Saya memohon mahkamah membenarkan anak guam saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan matanya. Simptomnya sama ketika beliau mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan jerebu.

"Beliau perlu menghadiri temu janji di klinik mata kira-kira jam 11 pagi ini," katanya.

Muhammad Shafee berkata selain mata berair, anak guamnya turut berdepan masalah hidung berair dan beliau perlu berjumpa doktor bagi mengelakkannya menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan agar pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan dilakukan tanpa kehadiran Najib tetapi Muhammad Shafee menjawab bahawa kehadiran anak guamnya diperlukan semasa prosiding mahkamah seperti di negara-negara Komanwel tidak ada peraturan di mana kehadiran tertuduh boleh diketepikan.

Mahkamah kemudian meneruskan dengan mendengar keterangan daripada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang disoal balas Muhammad Shafee.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619