AGENDA

Gojek: KPWKM utamakan keselamatan wanita, kanak-kanak

24 Ogos 2019, 9:32 AM
Gojek: KPWKM utamakan keselamatan wanita, kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian untuk tetap mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi wanita dan kanak-kanak jika golongan itu menggunakan khidmat teksi motosikal Gojek apabila diperkenalkan nanti.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memperincikan mekanisme mahupun cadangan berkaitan selepas menerima butiran lengkap daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tidak kiralah Grab (Grab Car), Gojek atau apa-apa saja, bagi pihak kementerian, kami melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kami juga melindungi orang kurang upaya.

“Buat masa ini kami tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan selepas itu baru beri secara rasmi apa-apa cadangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ‘buah fikiran’ kementerian itu bagi mengelak golongan wanita daripada menjadi mangsa sebarang kejadian tidak diingini termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan menggunakan motosikal berkenaan.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam pelaksanaan perkhidmatan Gojek termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.

Pada masa sama, Yeoh berkata, seramai 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara, sejak Januari lalu.

“Sebanyak 63 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

“Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu kebajikan yang produktif dan tidak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.

Katanya, kerajaan kerajaan bakal menubuhkan lagi 48 PAWE di seluruh negara tahun ini bagi memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta sebagai persiapan Malaysia mencapai status negara tua, pada 2030.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619