AGENDA

Korea Utara lancar dua lagi peluru berpandu

16 Ogos 2019, 3:46 AM
Korea Utara lancar dua lagi peluru berpandu

SEOUL, 16 OGOS: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu yang tidak dikenali ke arah Laut Timur pada Jumaat, yang keenam seumpamanya dalam tempoh tiga minggu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari daerah pantai timur Tongchon di Wilayah Kangwon pada awal pagi Jumaat, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

Tiada butiran lain diketahui termasuk jenis, jarak penerbangan dan ketinggian maksimum.

"Tentera kami kini memantau situasi itu jika terdapat pelancaran tambahan sambil mengekalkan kesiapsiagaan," menurut JCS dalam satu kenyataan ringkas.

Pelancaran pada Jumaat berlaku enam hari selepas Korea Utara menembak dua peluru berpandu dipercayai daripada jenis balistik jarak dekat ke arah Laut Timur.

Ia adalah yang keenam sejak 25 Julai ketika ia melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat yang baharu dibangunkan dan diberi nama KN-23.

Sementara itu, pejabat Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) pada Jumaat, beberapa jam selepas insiden itu.

Jawatankuasa Tetap NSC memulakan mesyuarat pada 9 pagi yang dipengerusikan Chung Eui-yong, ketua pejabat keselamatan negara, menurut Cheong Wa Dae (Rumah Biru).

Secara berasingan, Jae-in turut diberikan taklimat berhubung situasi berkaitan, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619