BERITA UTAMA

Hishammuddin tiba di SPRM beri keterangan isu 'land swap'

23 Jun 2019, 4:47 AM
Hishammuddin tiba di SPRM beri keterangan isu 'land swap'

PUTRAJAYA, 23 JUN: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tiba di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 pagi ini untuk memberi keterangan mengenai isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Hishammuddin yang memakai kemeja biru tiba di bangunan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam bersama pegawainya.

Ketika ditanya berapa lama beliau akan memberi keterangan kepada SPRM, Hishammuddin berkata beliau tidak pasti kerana tidak tahu apakah soalan yang akan ditanya oleh suruhanjaya itu.

“Saya akan memberi kerjasama penuh tanpa rasa takut atau pilih kasih. Dari dulu lagi saya beri kerjasama sepenuhnya. Yang paling penting sekarang semangat anggota tentera kita, kepentingan mereka dan keluarga mereka. Saya pun tak ada benda nak sembunyi," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran kerajaan baharu, mendedahkan bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lepas.

Dilaporkan, sebanyak 16 projek ‘land swap’ dilakukan kementerian membabitkan 1,183 hektar tanah.

Tanah di beberapa kem di Bukit Kinrara, Hutan Melintang, Bera, Segamat dan Paloh dilaporkan bernilai RM4.8 bilion manakala kos projek itu sebanyak RM4.9 bilion.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619