KENYATAAN MEDIA

Perutusan Aidilfitri 2019

4 Jun 2019, 5:25 AM
Perutusan Aidilfitri 2019

4hb Jun 2019

Dalam rasa terharu bersulam gembira, tiba sudah penghujung Ramadan. Selepas mengharungi 30 hari berpuasa, saya berharap semoga Allah S.W.T memberkati ibadah kita dan melimpahkan segala kebaikan yang ada di bulan ini kepada kita semua. Bulan ini adalah bulan penyucian jiwa yang menawarkan pengampunan dosa olehNya bulan ibadah penuh keberkatan.

Menurut sarjana Islam tersohor yang mengajar di Cambridge Syeikh Abdul Hakim Murad atau nama Inggerisnya Timothy Winter, Ramadan merupakan suatu “disruption” ataupun gangguan. Ianya satu gangguan kepada kebiasaan kita sebagai hamba Allah Subhanahu wa Taala. Kebiasaan kita yang penuh leka dan lalai terhadap perintah serta laranganNya telah “diganggu”, “disrupted” oleh keberkatan Ramadan. Manakala selepas melalui tarbiyah sepanjang Ramadan adalah fasa “continuation” menjadi cita-cita kita agar amal itu kekal berterusan pula sehingga kita menemui Ramadan sekali lagi.

Dalam semangat Ramadan yang mengajak kita melipatgandakan amal ibadah, membaca Al Quran dan bersedekah, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan Insentif Mahabbah Selangor.

Insentif ini merupakan Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji meliputi 19 244 penjawat awam Negeri Selangor dan 739 kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor dengan implikasi kewangan sebanyak RM 33.84 juta.

Buat pertama kali juga Ramadan kali ini lebih bermakna dengan Insentif Mahabbah Ramadan yang melibatkan 2053 surau dan 390 masjid di Negeri Selangor Darul Ehsan membabitkan sejumlah RM 4.1715 juta. Petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan siak akan menerima setiap seorang RM 400. Manakala petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau akan menerima setiap seorang RM 300. Bayaran ini merangkumi seramai 12 995 petugas masjid dan surau seluruh Selangor.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat Negeri Selangor. Saya juga ingin menjemput seluruh rakyat Negeri Selangor ke Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 15 Jun 2019, hari Sabtu, bertempat di Bulatan Bazarena Seksyen 13 Shah Alam bermula jam 8 malam.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan selamat pulang ke kampung halaman anda.

YAB Tuan Amirudin Shari Dato' Menteri Besar Selangor​.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619