NASIONAL

Selepas 35 tahun, Mohamad Fuzi akhirnya tinggalkan PDRM

3 Mei 2019, 12:51 PM
Selepas 35 tahun, Mohamad Fuzi akhirnya tinggalkan PDRM

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Suasana meriah namun sayu, mengakhiri persaraan Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dihadiri lebih 500 pegawai kanan pengurusan tertinggi termasuk anggota keluarga.

Majlis yang bermula pada pukul 5.00 petang itu, dimeriahkan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM yang mengalunkan beberapa buah lagu serta deklamasi sajak selama sejam, sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mohamad Fuzi juga turut diberikan penghormatan memimpin pancaragam itu, sebelum menaiki kenderaan istiadat polis bersama ahli keluarganya dan meninggalkan acara itu.

Turut hadir Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dari 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman dari 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman dari 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dari 2015 hingga 2017.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619