NASIONAL

IPCMC bukan untuk hukum polis

3 Mei 2019, 2:33 AM
IPCMC bukan untuk hukum polis

PUTRAJAYA, 3 MEI: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk menghukum anggota polis, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan Suruhanjaya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.

“... (kononnya) polis lakukan banyak kesalahan maka tertubuh IPCMC, seolah-olah to punish them... itu tidak betul,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan berkaitan kementeriannya di sini.

Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis.

“(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.

“Mungkin soal gubal undang-undang berkaitan perlu kita (kerajaan) lakukan selepas itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi, yang bakal bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619