SELANGOR

JAS akan ambil tindakan kilang langgar perintah

19 Apr 2019, 11:21 AM
JAS akan ambil tindakan kilang langgar perintah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 19 APR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang yang melanggar perintah dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa untuk beroperasi.

Pengarah JAS Selangor, Shafe'ee Yasin berkata, ekoran kejadian yang diuar-uarkan berlaku di kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, pihaknya akan melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah menyita kilang berkenaan dan sekiranya didapati bersalah tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikenakan.

"Sekiranya aktiviti peleburan plumbum itu didapati positif, hukuman sebanyak RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada kilang ini.

"Kini, kita dalam proses akhir menyiapkan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan tapak ke kilang terbabit bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafe'ee berkata, pihaknya juga bakal membuat siasatan terhadap sampel air bawah tanah dan ia akan dihantar ke jabatan kimia untuk keputusan selanjutnya.

"Dalam tempoh yang diberikan Kerajaan Negeri selama dua minggu, kita akan siasat serta keputusan akan diumumkan nanti," katanya.

Terdahulu, kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd yang menjalankan industri bateri itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan nilai pelaburan sejumlah RM120 juta daripada pelabur 60 peratus pelaburan asing dan 40 peratus tempatan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619