SELANGOR

Mahasiswa miliki potensi terajui industri halal

16 Apr 2019, 5:25 AM
Mahasiswa miliki potensi terajui industri halal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APR: Mahasiswa berpotensi menjadi Pegawai Halal Eksekutif di sesebuah syarikat sekiranya diberi pendedahan lengkap berhubung ekosistem sebenar dan prospek kerjaya ditawarkan dalam industri berkenaan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu bagi memastikan Sistem Jaminan Halal di sesebuah syarikat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan efektif.

Katanya, peranan dimainkan seorang pegawai itu adalah untuk merancang, menyelaras dan menjalankan audit dalaman halal.

“Untuk mendapatkan program halal ini syarikat itu sendiri harus mempunyai seorang eksekutif yang akan menjaga dan memantau satu jabatan.

“Kita mengharapkan mahasiswa boleh menjadi individu yang boleh menyumbang dalam menduduki jawatan berkenaan.

“Mengambil contoh Universiti Selangor (UNISEL), saya optimis mereka boleh melatih pelajar untuk mengisi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, UNISEL kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Head of Halal Trade Delivery Assurance, Aspire Flagship Sdn Bhd, Omar Ahad.

Terdahulu, seminar julung kali diadakan membabitkan kerjasama Halal International Selangor itu disertai lebih 300 penuntut Institusi Pengajian Tinggi dari semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berkata, seminar berkenaan dilihat sebagai langkah permulaan bagi menyemarakkan lagi pembangunan industri halal, khususnya di Selangor.

Katanya, ia juga sebagai usaha menyokong peranan Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi menyediakan modal insan yang holistik serta mahir dalam bidang halal.

“Dengan ekosistem halal masa kini, maka keperluan kepada pemain industri halal yang kompeten adalah sangat tinggi, bukan sahaja di seluruh dunia dan termasuk Jepun.

“Justeru, seminar kesedaran dan prospek kerjaya seumpama ini akan dapat memberi sedikit sebanyak pemahaman mengenai konsep halal dan kepentingannya dalam industri halal,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619