NASIONAL

PRK Rantau: Proses pengundian berjalan lancar - Polis

13 Apr 2019, 11:12 AM
PRK Rantau: Proses pengundian berjalan lancar - Polis

SEREMBAN, 13 APR: Proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sehingga semua 14 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini, berjalan lancar.

"Pada keseluruhannya keadaan adalah terkawal dan proses mengundi berjalan dengan lancar," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis memberikan kawalan ketat terhadap semua pergerakan peti undi yang akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, dekat sini untuk pengiraan undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat 4 petang ialah 74 peratus dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh orang).

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619